Sunday, October 09, 2005

Muslimat Dan Fesyen

-insyirah08

Syabas diucapkan kepada kerajaan Kelantan kerana telah mengadakan pertama kalinya ‘all-women’s fashion show’ sempena dengan deklarasi Kota Bharu sebagai Bandar Raya Islam. Gambarnya tertera pada mukasurat pertama akhbar The Star bertarikh 4 Oktober 2005.


Dengan adanya tindakan yang berani dari kerajaan negeri Kelantan ini, saya kira ianya telah membuka minda muslimat PAS khususnya. Adakah Mursyidul ‘Am kita kurang arif tentang hukum hakam berkaitan pakaian? ‘Tabarruj’ – berhias dalam kejelekan dan untuk seronok diharap tidak menjadi isu dalam hal ini asalkan ianya kena pada tempat sesuatu pakaian itu dipakai dan kepada golongan yang dibenarkan.

Naluri wanita yang sukakan kepada yang cantik dan indah kalau digarap dengan jalan yang betul akan membawa hasil yang baik kepada harakah Islamiyyah khususnya.

Selama ini kita telah maklum bahawa pakaian muslimat PAS agak konservatif. Sejak berdekad lalu jubah, tudung labuh dan warna kusam adalah sinonim dengan muslimatnya. Masyarakat dari jauh telah dapat menilai. Yang seperti ini hanya tertarik dengan kelompok mereka sahaja.

Kalau tidak silap saya, di antara sebab kejatuhan pimpinan muslimat beberapa sessi lalu ada tempiasnya dalam isu pakaian. Tambahan bila golongan muslimat baru yang masuk dalam PAS, perkara yang pertama dipertikaikan ialah pakaian.

Namun dengan berubahnya corak kepimpinan yang dianggap lebih terbuka saya rasa ramai yang telah dan akan tertarik dengan tawaran-tawaran perubahan dalam PAS khususnya dalam isu berkaitan wanita. Dalam masa yang sama ahli-ahli PAS yang sedia ada perlu menerima hakikat perubahan tersebut.

Muslimat PAS sekarang terdiri dari berbagai golongan dan profession. Tidak salah mereka menunjukkan professionalisma hatta dalam keadaan berpakaian sekalipun selagi ianya masih dalam batas aurat yang dikehendaki oleh syara’. Hatta yang berpendidikan agama juga boleh dapat membawa pendekatan mengikut kesesuaian mereka.

Pada hemat saya cara berpakaian juga akan membuat masyarakat hormat dan tertarik dengan mesej Islam yang disampaikan.


Wallahu’alam.